Make your own free website on Tripod.com

Klik untuk ke Laman Utama

Paling sesuai dengan paparan True Color dan 800 X 640 pixel.
Untuk Bookmark Sila Tekan Ctrl + D


Ceramah Presiden PAS di Johor Berjaya

Parit Sulong, 05 Ogos, 2001 - Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) dengan kerjasama PAS Kawasan Parit Sulong telah berjaya mengadakan Ceramah Perdana oleh Presiden PAS, Dato' Hj. Fadzil Mohd Nor, di Parit Warijo, Sri Medan, Batu pahat. Program tersebut bertujuan mengumpulkan dana untuk Dewan Pemuda PAS Negeri Johor di samping merasmikan markas baru PAS Kawasan Parit Sulong. Walaupun program tersebut diadakan di dalam kawasan markas PAS, pihak polis masih tidak meluluskan permit yang dipohon oleh penganjur.

Seawal jam 4.00 petang pihak Polis telah membuat sekatan dan pemeriksaan di jalan masuk ke Pt. Warijo. Setiap kenderaan yang memasuki jalan tersebut akan diperiksa dengan tujuan untuk menghalang atau melambatkan mereka yang ingin ke tempat ceramah. Menurut pihak polis yang membuat pemeriksaan, kenderaan tidak dibenarkan masuk kerana tiada tempat untuk ‘parking’ dan trak polis dan FRU sudah memenuhi ruang tempat letak kereta yang disediakan. Pihak Polis mengarahkan agar mereka yang ingin ke tapak ceramah meninggalkan kereta di tempat pemeriksaan tersebut dan meneruskan perjalanan dengan berjalankan kaki dengan jarak hampir 3 kilometer.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak mengendahkan arahan Polis, dengan alasan ‘kami bayar cukai jalan’, dan ‘ kami nak laksanakan arahan Allah SWT, bukan arahan awak’.

Ramai yang menyangka pemeriksaan polis setakat itu sahaja. Namun sangkaan mereka meleset sama sekali. Selepas lebih kurang 100 meter sebelum sampai ke tapak program, satu lagi sekatan jalanraya dibuat oleh pihak polis. Walau bagaimanapun orang ramai masih berjaya sampai ke tempat program dengan izin Allah. Ramai antara yang hadir meletakkan kereta di perkarangan masjid dan menunggu hingga masuk waktu solat Maghrib. Setelah selesai solat, semua jemaah ditunjukkan satu arah jalan yang melepasi pemeriksaan polis. Lebih 50 orang petugas-petugas PAS mengawasi mereka yang memasuki pintu markas tersebut. Sebuah lori besar diletakkan di hadapan pintu masuk dan terdapat lebih 10 orang berada di atas lori.

Dalam kesibukan muslimin dan muslimat menuju ke arah markas, kelihatan tiga buah trak FRU dan sebuah trak "water cannon". Terdapat juga dua buah van polis yang membawa polis wanita dan sebuah trak polis. Walau bagaimanapun tanah seluas satu ekar yang telah dipagari dengan zing yang tebal dan dikawal oleh seorang petugas bagi setiap setiap jarak 4 meter menyukarkan pihak polis untuk memasuki kawasan tersebut.

Sekitar jam 8.00 malam, Presiden PAS, Ustaz Fadhil tiba di tapak Programdengan diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Johor dan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor. Kira-kira 400 orang telah membuat ribat di keliling bangunan Markas.

Setelah masuk waktu solat isyak, para petugas telah bersembahyang bergilir-gilir. Sekitar jam 9.00 malam, majlis dimulakan dengan bacaan selawat beramai-ramai dan majlis dipengerusikan oleh Ustaz Abdullah Hussin, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor. Kutipan derma jihad dan kutipan Tabung Magsa Kezaliman ISA dilancarkan sejurus selepas itu. Dianggarkan hampir 4000 orang telah memenuhi kawasan berpagar sementara kira-kira 1000 orang terpaksa menunggu di luar pagar.

Pihak Polis yang berada diluar beberapa kali cuba membuat rundingan dengan petugas PAS agar membenarkan polis memasuki kawasan tersebut. Terdapat beberapa orang petugas PAS mengatakan bahawa Ishak, Timbalan OCPD Batu Pahat, cuba bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata ugutan kepada para hadirin dan petugas PAS. Keadaan menjadi tenang apabila OCPD Batu Pahat, Tuan Latifi, membenarkan PAS mengambil sedikit masa bagi meneruskan ceramahnya dengan syarat dibenarkan 3 orang polis untuk masuk ke dalam kawasan tersebut untuk mengambil gambar. Petugas PAS akhirnya membenarkan 3 orang pegawai tersebut masuk dengan dikawal rapi oleh para petugas PAS. Ishak, yang berkeras hendak masuk ke dalam kawasan tersebut tidak di beri peluang langsung oleh petugas-petugas. Timbalan OCPD Batu Pahat yang seolah-olah telah hilang akal terpaksa disabarkan oleh pegawai-pegawai bawahannya yang lain.

Pada jam 9.30 malam, Dato' Fadhil memulakan ceramah. Di dalam ceramahnya, beliau menyatakan bahawa mengikut kenyataan Menteri Dalam Negeri, ceramah boleh diadakan didalam Markas dan kawasan di dalam lingkungan tanah markas. Sejak pembekuan permit ceramah, inilah kali pertama penceramah dapat meneruskan ucapan hampir satu jam setengah. Dalam masa yang ada, Dato; Fadzil memberitahu bahawa antara rang undang-undang yang sedang dibahaskan di parlimen ialah mengenai "mental disorder" atau gangguan mental. Semasa Dato' Hasan Ali, wakil Parit Buntar, sedang membahaskannya, Dato' Fadzil bangkit memohon penjelasan. "Adakah orang yang pagi bercakap lain dan petangnya pula bercakap lain termasuk di dalam golongan yang menghidap masalah tersebut". Dr. Hasan Ali menjelaskan, penyakit tersebut merupakan masalah yang dihidapi oleh orang yang berumur lanjut dan ia sukar diubati.

Ustaz Fadhil telah memberhentikan ceramahnya kira-kira jam 11.00 malam apabila mendapati Polis FRU cuba merempuh pintu masuk. Seterusnya Ustaz Fadhil mengisytiharkan perasmian penubuhan Markaz Tarbiyyah PAS dan disambut dengan laungan takbir. Ustaz Fadhil juga melancarkan Kutipan Derma Untuk Mangsa Kezaliman buat kali ke ~ 2 diiringi dengan selawat beramai-ramai. Kemudian, Dr. Daeng Sanusi dijemput untuk menyampaikan ucapan aluan dan terima kasih kepada petugas-petugas yang telah menjayakan program tersebut.

Dalam masa yang sama, petugas-petugas PAS di pintu masuk berkata bahawa Polis FRU dikatakan mehu melepaskan gas pemedih mata dari jarak 50 meter. Semua petugas tidak putus berzikir dan bertakbir. Para pengunjung diarahkan agar tidak berganjak ke mana-mana sebelum selesai program. Setelah suasana kembali tenang, pengerusi majlis menangguhkan program dengan Majlis Penyerahan Tanah dan Bangunan oleh pemilik kepada PAS dan penyampaian cenderahati kepada Perasmi. Seterusnya majlis diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-`Asr pada jam 12.00 malam.

Walau pun majlis telah bersurai masih ramai lagi yang tidak berganjak. Para petugas PAS pula diarahkan ribart di sekitar bangunan Markaz bagi mengawasi keselamatan Dato' Fadhil. Terdapat beberapa ratus petugas ribart dari kawasan bangunan sehingga kawasan luar perkarangan dengan membuat kepungan pada kenderaan MPV TOYOTA LUCIDA yang dinaiki oleh Dato' Fadhil. Di luar perkarangan pula, ramai petugas menunggu dengan menaiki motosikal mengawasi kenderaan MPV itu sehingga ke jalan besar. Dalam kesibukan itu seorang pegawai Polis telah masuk dan mengarahkan agar orang ramai bersurai dan beliau juga cuba merempuh masuk ke dalan bentengan manusia. Polis tersebut juga cuba mengarahkan sesuatu kepada seorang petugas PAS namun tidak dilayan. Petugas PAS itu pula sibuk mengarahkan agar menambah bilangan mereka yang mengawasi di luar. Memandangkan segala yang diperkatakan tidak diendahkan, polis tersebut terus keluar meninggalkan tapak ceramah dengan arahan segerakan bersurai. Setelah selesai program, para petugas dan pengunjung beransur-ansur meninggalkan kawasan ceramah.

Pihak Polis tidak menghentikan tugas mereka setakat itu. Dalam perjalanan keluar dari Parit Warijo itu, Polis sekali lagi membuat pemeriksaan dan mencatat setiap nombor pendaftaran kereta yang keluar. Walau pun negara Malaysia diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional, tetapi apakah perlu segala arahan dituruti sehingga perlembagaan sendiri diketepikan. Di mana letaknya ungkapan ‘Mesra Rakyat’ yang sering dilaungkan ? Adakah disemat dan ditanam dalam diri dan menjadi tunggak dalam menjalankan tugas, atau hanya di lekatkan di dinding sahaja ? Apa yang pasti, ceramah pada malam itu merupakan satu kejayaan yang besar di mana pihak polis terpaksa mengalah kerana PAS tidak mudah menyerah kalah walaupun kehadiran polis diiringi ‘Black Maria’.

Kiriman Lailiza.