dppnjhd.gif (12171 bytes)

22 ditangkap - 7 dilokap
tampoi.jpg (12879 bytes)
Antara yang dibebaskan dengan seorang penjamin

Tampoi, 22 Ogos, 2001 - Polis daerah Johor Bahru sekali lagi menunjukkan taringnya apabila 22 orang ditangkap di dalam ceramah di Taman Dahlia, Tampoi. Daripada 22 orang yang ditahan, 7 daripadanya dilokap di Balai Polis Central, Johor Baharu. Mereka yang ditangkap adalah dari kalangan kepimpinan Dewan Pemuda PAS iaitu Salahuddin Ayub, Mazlan Aliman, Aminuddin Ayub, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Zaaba Ibrahim dan 2 orang dari kepimpinan PAS Kawasan Pulai.

Sementara itu 15 orang yang lain telah dibebaskan dengan seorang penjamin. Proses soal siasat untuk semua 15 orang telah mengambil masa yang agak panjang dan selesai kira-kira jam 3.30 pagi (23 Ogos).

Dalam kejadian tersebut, beratus-ratus orang polis dan FRU telah mengepung kawasan ceramah yang diadakan di Markas PAS Taman Dahlia. Semasa kekecohan serangan pihak polis kepada hadirin dan penceramah, beberapa orang, termasuk seorang polis cawangan khas (SB) telah dipukul oleh polis FRU. Seorang SB berbangsa India didapati bengkak dikepalanya terkena belantan apabila cuba menghalang FRU dari terus memukul hadirin yang datang mendengar ceramah.

Termasuk kejadian terbaru, polis Johor telah membuat 69 tangkapan di dalam ceramah-ceramah BA sejak permit tidak lagi dikeluarkan untuk perhimpunan-perhimpunan BA. Dalam suatu masa yang lain, polis telah membenarkan Puteri UMNO mengadakan perhimpunannya di Lagun Putri, sebuah kawasan awam, pada 12 Ogos yang lalu sempena pelancarannya untuk peringkat negeri Johor.