|
Penjara
Juga Menyokong BA
Endau, 17 Disember, 2000. YB. Haji Mahfuz Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat mendedahkan
bahawa ramai kakitangan dan banduan di Penjara Kajang adalah penyokong BA. Menurutnya,
kalau banduan di Kajang dibenarkan mengundi, ADUN PAS di Kajang tentu menang dengan
majoriti yang lebih besar. Hj. Mahfuz menyelar sikap kerajaan yang memberi layanan yang
sangat buruk kepada banduan-banduan di Kajang. Perkara yang paling menyedihkan di Penjara
Kajang ialah makanan yang disediakan langsung tidak mempunyai kualiti, bahkan tidak layak
dimakan oleh manusia. Lauk istimewa yang diberi adalah dari jenis ayam yang 'sudah putus
haid' (keras) dan daging 'spring'. Tetapi lauk yang sering dihidang ialah ikan masin yang
hampir busuk kerana tidak betul-betul kering.
Selain itu pihak penjara jelas tidak punya perancangan untuk menyedarkan banduan. Tidak
hairanlah terdapat banduan yang sudah 15 kali berulang-alik masuk penjara kerana kesalahan
yang sama. Contohnya, terdapat tiga banduan pondan yang memberitahu bahawa selama lebih
setahun mereka tinggal di penjara itu tidak pernah sekali pun mereka dipanggil untuk
kauseling bagi membetulkan sikap dan personaliti mereka. Kebanyakan banduan yang tinggal
di penjara itu tidak punya rasa insaf bahkan mempunyai rasa marah dan benci yang
meluap-luap kepada kerajaan. Sebab itu laungan biasa yang kedengaran di Penjara Kajang
sepanjang sebulan YB Mahfuz dan Sdr. Salahudin di Penjara Kajang ialah laungan "Hidup
BA" yang juga dilaungkan oleh pesalah yang hampir dihukum gantung.
Mengenai mengapa beliau, Salahuddin dan Pak Aamjal memilih penjara, beliau menegaskan
bahawa mereka bertiga adalah di pihak yang tidak bersalah. Apa yang mereka lakukan
(mengadakan demo menentang kemasukan pasukan kriket Israel) adalah suatu tanggungjawab
menterjemahkan dasar luar negara yang sama sekali tidak punya hubungan dengan Israel.
Sikap kerajaan memenjarakan mereka bertiga adalah jelas bertentangan dengan dasar negara
dan kerana itu mereka tidak rela wang mereka (sekiranya membayar denda) digunakan oleh
sebuah kerajaan yang zalim untuk terus mengekang keadilan. |
|