Make your own free website on Tripod.com

Klik untuk ke Laman Utama

Paling sesuai dengan paparan True Color dan 800 X 640 pixel.
Untuk Bookmark Sila Tekan Ctrl + D


Kenyataan PRM
BPR Perlu Siasat Kerugian JCorp

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendesak supaya Kerajaan Negeri Johor segera meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kerugian Perbadanan Johor (JCorp), sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata di Muar pada 19 Disember 2000, bahawa JCorp mempunyai hutang pinjaman berjumlah RM5 bilion. Ghani memberi alasan kegawatan ekonomi sejak 1997 hingga 1999 sebagai punca yang menjejaskan kedudukan kewangan JCorp.

Tidak dinafikan alasan krisis ekonomi satu faktor penting akan kerugian besar JCorp sehingga mempunyai hutang RM5 bilion. Tetapi kejatuhan JCorp tentu ada faktor-faktor yang lain juga seperti salah pengurusan pelaburan, rasuah dan penyelewengan. Hal-hal ini perlu disiasat. JCorp telah dibangunkan hampir 30 tahun yang lalu sebagai sebuah syarikat kerajaan negeri yang berjaya. Mengapa kejayaan selama 30 tahun itu runtuh hanya dalam masa tiga tahun sahaja? Beberapa isu perlu dibincangkan di sini.

Pertama, jumlah hutang pinjaman JCorp amat besar iaitu RM5 bilion. Jumlah hutang ini dekat hampir sama dengan hutang syarikat Perwaja, sebuah syarikat besiwaja milik Kerajaan Pusat yang sedang disiasat BPR kerana didakwa berlakunya penyelewengan dan rasuah.

Kedua, kepada siapa JCorp berhutang? Bank dalam negeri? Atau bank luar negara? Kalau bukan bank adakah dana-dana awam dalam negeri atau dana-dana kewangan luar negara? Ghani Othman perlu telus dalam soal ini.

Ketiga, mengapakah kerugian dan hutang pinjaman JCorp RM5 bilion ini tidak dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri yang sedang bersidang sekarang? Kenapa hal ini sekadar diberitahu kepada pemberita di Parit Kasan, Serom, Muar selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Aidilfitri? [Berita Harian 20 Disember 2000] Tidakkah JCorp sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan hal mengenainya layak dan tepat dibincangkan di Dewan Undangan Negeri Johor?

Keempat, Belanjawan Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2001 tidak sampai RM1 bilion tetapi hutang pinjaman anak syarikatnya, JCorp sampai RM5 bilion. Tidakkah ini sesuatu yang serius yang perlu diberi perhatian berat oleh Kerajaan Negeri Johor, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, dan rakyat Johor pada umumnya?

Kelima, tidakkah keruntuhan JCorp ini menjadikan pihak pengurusan perbadanan itu perlu memikul tanggungjawab, khususnya di pihak Ketua Eksekutif JCorp iaitu Tan Sri Muhammad Ali Hashim? Tidakkah wajar beliau didesak oleh Kerajaan Negeri Johor supaya meletakkan jawatan untuk membolehkan satu siasatan BPR diadakan segera?

Keenam, kerugian dan hutang besar JCorp ini turut menjejaskan 166,000 pelabur Amanah Saham Johor (ASJ) dan Dana Johor (DJ). Daripada jumlah itu, 125,000 pelabur ASJ dan bakinya pelabur DJ. Dua amanah saham ini diuruskan oleh JCorp. Harga saham-saham itu kini berada di bawah paras 30 sen sejak awal tahun 2000 ini.

Ketujuh, Menteri Besar Johor tidak boleh memandang mudah hutang pinjaman JCorp sebanyak RM5 bilion dengan alasan bahawa JCorp masih lagi mempunyai aset berjumlah RM9 bilion. Aset JCorp itu sebahagiannya datang dari tanah-tanah yang kebanyakannya diperolehi percuma dari Kerajaan Negeri Johor atau dibeli oleh JCorp dengan harga yang rendah tetapi kemudian status tanah-tanah pertanian itu diubah kepada tanah-tanah perindustrian. Dengan sendirinya nilai-nilai tanah itu naik mendadak.

Justeru itu, PRM mendesak Datuk Ghani Othman selaku Menteri Besar Johor yang merangkap Pengerusi JCorp supaya bersikap bertanggungjawab dan telus dalam soal kerugian dan keruntuhan JCorp untuk segera membincangkan isu hutang pinjaman JCorp sebanyak RM5 bilion itu di Dewan Undangan Negeri Johor.

PRM juga mendesak supaya siasatan segera BPR dilakukan ke atas JCorp untuk mencari punca-punca sebenar kerugiannya. Sekiranya berlaku pecah amanah, salah pengurusan, penyelewengan dan rasuah mereka yang terbabit perlu diambil tindakan.

Hassan Karim
Naib Presiden PRM
21 Disember 2000