Aktivis Dewan Pemuda PAS Johor ditahan di
bawah ISA
BATU PAHAT, 2 Ogos - Dewan Pemuda PAS Johor hari ini diberitahu bahawa seorang aktivis
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Us. Norashid Hj. Sakib, kini sedang ditahan polis di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Us. Norashid adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan
Sengai Benut dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Selain itu beliau adalah
Timbalan Pengarah Unit AMAL Johor. Setakat ini belum dapat dipastikan sebab-sebab beliau
ditahan.
Menurut saksi-saksi yang melihat penahanan beliau, beberapa orang anggota polis telah
datang ke Madrasah Al-Masriyah di mana beliau mengajar pada jam 9.30 pagi. Pihak polis
telah meminta beliau untuk hadir ke Balai Polis Simpang Renggam kerana OCPD ingin berjumpa
dengannya. Setelah soalsiasat dilakukan di Balai Polis Simpang Renggam, beliau kemudiannya
di bawa dengan kenderaan polis ke rumah beliau. Pihak polis dikatakan telah menggeledah
rumah beliau dan telah mengambil beberapa buah buku, gambar, VCD dan sebagainya.
Sekeping surat telah ditinggalkan oleh polis untuk keluarganya yang mengatakan beliau
telah ditahan di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai
terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang telah memudaratkan keselamatan Malaysia. Keluarganya
diminta untuk berhubung dengan Bahagian Cawangan Khas, Ibupejabat Polis Diraja Malaysia,
Johor Bahru.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Benut telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi
membincangkan penangkapan beliau. Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda
PAS Negeri Johor, Sdr Mazlan Aliman,telah memutuskan jawatan beliau dipangku oleh
timbalannya. Mesyuarat juga telah melancarkan derma kilat serta perakuan sumbangan bulanan
dari mereka yang hadir untuk membantu keluarga mangsa. Dewan Pemuda diminta untuk memberi
perhatian terhadap kebajikan ahli keluarganya. Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan
untuk Tabung Mangsa Isa, Us. Norashid Hj. Sakib, diminta berhubung dengan bendahari Dewan
Pemuda PAS Kawasan Sungai Benut.
Dewan Pemuda PAS Negeri juga telah meminta peguam untuk membantu keluarga mangsa.
Peguam dijadualkan akan membawa keluarga mangsa ke Ibupejabat Polis Johor untuk bertanya
perkembangan kes tersebut |